Ana səhifə

M II kep meter. M kep Masihi; 1959~ tahun 1959 Masihi ma


Yüklə 0.79 Mb.
səhifə3/18
tarix26.06.2016
ölçüsü0.79 Mb.
1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   18

memakan 1. makan (dgn lebih aktif): mereka pun duduk ~ sarapan pagi; 2. memerlukan atau menghabiskan (waktu, belanja, dll), mengambil: ini tentulah ~ belanja lebih drpd satu ribu ringgit; pelayaran itu ~ masa selama lapan minggu; 3. merosakkan, membinasakan, memusnahkan: rumah itu dimakan api; pisau itu dimakan karat; 4. mematikan (dlm permainan catur dll): hampir dimakannya raja saya;

dimakan akal masuk akal; dimakan pakaian cocok benar padanya (pakaian); dimakan tikus bp digelapkan (digunakan) wang dll; dimakan tua bp telah lama hidupnya, sudah tua;

memakani memakan dgn banyaknya, acapkali memakan: ia asyik ~ buah-buahan yg dibawanya sendiri dr rumah;

memakankan 1. mengusahakan (memberi dll) supaya sesuatu dimakan; 2. memakan utk;

termakan 1. sudah dimakan (dlm erti kiasan dll): besi itu habis ~ karat; 2. makan dgn tidak sengaja: Ali dirawat di rumah sakit sebab ~ racun; dia ~ a) dia kena racun; b) dia kena guna-guna; 3. ki dapat diterima (akal dll), terpengaruh; perkataan itu ~ olehnya perkataan itu dapat diterimanya; 4. dapat dimakan: ikan yg didapatinya itu terlalu banyak hingga tidak ~ lagi;

~ budi menerima pertolongan (kebaikan dll) drpd orang lain, kebudian; ~ bulan terlewat waktu (tempoh) yg ditetapkan; ~ dlm hati meresap dlm hati; ~ janji tidak menepati janji; ~ oleh akal masuk akal, boleh diterima oleh fikiran;

makanan apa sahaja yg boleh dimakan (spt nasi, roti, dll), rezeki: segala ~ spt sayur-sayuran dan ikan semuanya murah;

~ berzat makanan yg mempunyai zat (vitamin, protein, dll); ~ laut makanan atau hidangan yg bahan utamanya ialah hidup-hidupan laut spt ikan, sotong, udang, ketam, kerang-kerangan dsb: restoran ~ laut; ~ ringan makanan yg tidak begitu mengenyangkan (spt keropok, kacang, dll) yg dimakan sambil-sambilan; ~ ruji makanan utama sehari-hari (spt beras bagi penduduk Asia); ~ segera makanan yg ringkas dan dapat disediakan dgn cepat;

makan-makanan bermacam-macam jenis makanan;

kemakanan habis dimakan: jagalah baik-baik pedang itu, supaya tidak ~ karat;

pemakanan 1. jenis-jenis makanan yg lazimnya dimakan atau ditentukan utk dimakan, pilihan jenis-jenis makanan seseorang dll: masalah salah ~ dan kekurangan vitamin masih lagi berleluasa di dunia moden hari ini; ~ yg tidak seimbang; ~ semasa hamil; 2. perbuatan (proses) makan: bahan radioaktif masuk ke dlm tubuh manusia melalui proses ~ dan peminuman;

pemakan 1. orang (binatang dll) yg memakan: binatang ini termasuk jenis binatang ~ daging; 2. apa yg digunakan utk jodoh makanan: lauk ~ nasi; kapur ~ sirih; se~ sirih sama lamanya dgn orang makan sirih; 3. orang yg suka makan: Ali memang ~;

~ bawang ki orang yg pemarah; ~ gaji orang yg makan gaji; ~ upah orang yg mengambil upah.

makar I Ar 1. tipu daya, akal muslihat, kecurangan: perlulah sekarang dicari lain akal dan ~; 2. perbuatan dll dgn maksud menyerang (menyakiti, membunuh) orang dll.

makar II bangkar (buah-buahan), keras.

makar III Kd kelakar.

makara I patung kepala binatang buas (yg terdapat pd candi dll zaman dahulu).

makara II nama kelompok bintang, bintang sartan; mengkara.

makaroni sj bahan makanan drpd tepung gandum, berbentuk pembuluh (biasanya dipotong pendek-pendek) yg dikeringkan, dan dimasak utk dijadikan makanan.

makas sl keras; keras ~ sangat keras;  mangkas I.

Makau nama sebuah pulau di selatan negeri China;

benang ~ benang emas atau perak; sambal ~ Kd sambal yg dimakan dgn timun; wayang ~ wayang Cina.

makau-po C, bp perempuan lacur (drpd bangsa Cina).

makaw sj burung yg rupa bentuknya spt burung nuri (tetapi lebih besar), Ara spp.;

~ biru kuning sj burung, Ara arauna; ~ kuning merah sj burung, Ara macaw; ~ merah biru sj burung, Ara chloroptera.

makbud Ar; Allah almakbud Allah yg disembah.

makbul 1. diterima (permintaan, doa, dll), tercapai (maksud dll), berhasil: semua permintaannya sudah pun ~ ; 2. mustajab (ubat, jampi, dll), manjur, mujarab: maka jampi pawang itu tiada~;

memakbulkan menerima (permintaan, doa, dll), mengabulkan, menyampaikan (maksud dll), memperkenankan: permintaannya itu dimakbulkan oleh Kongres;

termakbul diterima (permintaan, doa, dll), terkabul, tercapai (maksud dll): harapan hatinya ~lah sudah;

kemakbulan perihal makbul: utk ~ doa, banyak kaedah perlu diikuti.

makdan Ar lombong; ~ emas lombong emas.

makelar IB orang yg menjadi perantara dlm perdagangan (menjualkan barang-barang atau mencarikan pembeli utk orang lain), broker.

makemono (makémono) (Jepun) (S.Lukis) lukisan skrol Jepun yg digantung melintang.

makhdum Ar ark tuan (biasanya gelaran utk ahli agama).

makhfi Ar sl yg tersembunyi, rahsia.

makhluk Ar segala yg dijadikan Tuhan (spt manusia, binatang, dll): manusia adalah ~ pilihan Tuhan; ~ halus makhluk spt jin dan syaitan yg hidup dlm alam ghaib.

makhraj Ar tempat keluar bunyi huruf (alif hingga ya) spt di halkum, lidah, bibir dsb.

maki kata yg kasar dan keji (utk menghina, memarahi, orang, dll): mereka bersorak-sorak mencetuskan ~ dan marah terhadap majikan yg tidak berperikemanusiaan;

~ hamun = caci ~ kata-kata yg sangat kasar dan keji; mencaci (mencuci) ~ mengucapkan kata-kata yg kasar dan keji (utk menghina, memarahi, dll);

memaki, memaki-maki mengeluarkan kata yg keji-keji (kpd): ia marah lalu ~ isterinya;

makian kata yg kasar dan keji (utk menghina, memarahi, dll), maki: budak-budak itu tidak langsung menghiraukan ~ dan sumpah seranah itu.

makin 1. = semakin menjadi lebih, kian bertambah: hati Maskam ~ meradang; lanun-lanun itu ~ buas; 2. sl lebih-lebih lagi, apa lagi.

maklaf Ar ark tempat utk mengisi makanan kuda dll, palung.

maklum 1. sudah tahu, sudah mengerti, faham, mengerti, mengetahui: kamu semua sudah sedia ~ bahawa perjumpaan ini adalah yg terakhir utk tahun ini; 2. = maklumlah tahu sahajalah, sudah barang tentu, tentu sudah tahu: ~ aku ini orang miskin; ~ balas maklumat yg diterima kembali sbg menjawab pertanyaan (soal selidik dsb atau sbg reaksi dsb sesuatu tindakan (kegiatan, keputusan, dsb);

memaklumi memahami, mengetahui: aku harap kamu semua telah ~ perkara ini;

memaklumkan 1. membuat maklum, menjadikan maklum, memberitahukan, mengkhabarkan, menyatakan: ia datang hendak ~ hal-ehwalnya; dipermaklumkannya yg ia hendak membalas kematian isterinya itu; 2. mengumumkan sesuatu (keputusan dll), menyatakan (perang dll), mengisytiharkan (kemerdekaan dll): mereka ~ perang dgn Belanda;

termaklum sudah dimaklumi, sudah diketahui;

makluman apa-apa yg dimaklumkan, pemberitahuan;

pemakluman pengumuman, pengisytiharan, penyataan;

pemaklum orang yg memaklumkan sesuatu, orang yg memberikan makluman.

maklumat 1. makluman, pemberitahuan, pengumuman: ~ akan diberikan di dlm risalah; 2. keterangan, butir-butir: ~-~ mengenai angkatan perang telah sampai ke Yedo dr Okinawa; 3. pengetahuan: utk ~ ahli-ahli saham syarikat, mesyuarat agung tahunan ditangguhkan;

memaklumatkan memberitahukan, memaklumkan.

maklun Id, bp upah membuat pakaian dll.

makmal tempat mengadakan percubaan atau penyelidikan segala sesuatu yg berhubung dgn ilmu sains (fizik, kimia, dll), laboratorium; ~ bahasa bilik yg dilengkapkan dgn perakam pita dsb utk pembelajaran bahasa asing.

makmum Ar 1. pengikut imam dlm sembahyang: sembahyang jemaah itu ialah sembahyang yg mempunyai perhubungan antara ~ dgn imam; 2. bp menurut, mengikut: dia hendak ~ sahaja.

makmur 1. mempunyai hasil yg banyak (daerah, negeri, dll), mempunyai penduduk yg banyak dan cukup kehidupannya: negeri Jepun adalah negeri yg paling ~ di Asia pd masa ini; 2. bp hidup mewah (serba cukup dll), tidak kekurangan apa pun: nampaknya engkau ~ sekarang;

persemakmuran persekutuan negara-negara yg pernah dijajah oleh British, iaitu Komanwel;

memakmurkan memajukan supaya makmur: ia diberi tugas utk ~ daerah yg mundur itu;

kemakmuran perihal makmur (mewah, serba cukup, sejahtera, dll): ~ sesebuah negeri bergantung terutama sekali pd kerajinan penduduk-penduduk negeri itu;

pemakmuran perihal (perbuatan, tindakan dsb) memakmurkan: sumbangan ini amat membantu utk membina ~ budaya ummah.

makna erti atau maksud (sesuatu perkataan dll): kalau tidak tahu ~ sesuatu perkataan, janganlah gunakan perkataan itu;

~ fungsian (Lin) makna unsur linguistik yg dilihat dr segi fungsi tatabahasanya; ~ kiasan makna kata yg tidak merujuk kpd makna harfiah, tetapi dikiaskan sbg ibarat, mis jambu yg bererti cantik atau lawa; ~ konteks (Lin) makna yg menunjukkan hubungan antara ujaran dgn keadaan; ~ leksikal (Lin) makna kata spt yg terdapat di dlm kamus;

bermakna 1. mempunyai (mengandungi) erti, bererti; ~ berbilang mempunyai (mengandungi) beberapa erti; 2. penuh tujuan, bermanfaat, penting, bererti: pemberian itu sangat ~ bagi kami; dia merasakan seolah-olah kehidupannya sudah tidak ~ lagi setelah beberapa kali dikecewakan;

memaknakan menjelaskan erti (maksud) sesuatu perkataan dll;

pemaknaan perihal atau proses memberi makna, pengertian: dlm bahasa Melayu Indonesia masih ada sistem tanda yg berhubung dgn raja spt bersantap, beradu, beta yg ~nya tidak sama dgn yg pernah ada sebelumnya.

MAKNA akronim bagi Majlis Kanser Nasional.

maknawi Ar 1. berhubung dgn makna, mengikut ertinya; 2. penting, kepentingan.

maknga Kl, Tr cuai, lalai.

makramat Ar kehormatan, kebaikan hati.

makrifat Ar 1. ilmu mengenali sesuatu; 2. (dlm ilmu tasawuf) ilmu mengenali hal kerohanian pd peringkat yg tertinggi atau sempurna;

bermakrifat 1. (dlm ilmu tasawuf) berfikir dalam-dalam tentang sesuatu, bertafakur; 2. mengetahui benar-benar: bolehkah hamba ~ bahawa hamba akan mati bersama-sama dgn ibu hamba?

makrifatullah Ar ilmu mengenali Allah: bahasa, karya kesusasteraan dan alam semesta semuanya merupakan tanda keagungan Allah dan jalan utk ~.

makro meliputi skop (hal, faktor dsb) yg umum atau menyeluruh: kerajaan pusat melihat keperluan dan masalah pembangunan pd peringkat ~, manakala kerajaan negeri pula peringkat mikro; bandingkan perubahan sosial pd tahap ~ dan mikro.

makro- awalan asing besar, banyak, menyeluruh, mis makroekonomi.

makrobiotik sistem pemakanan yg bersumberkan biji-bijian penuh dan sayur-sayuran yg ditanam tanpa menggunakan bahan kimia.

makroekonomi (makroékonomi) kajian aspek-aspek ekonomi (spt pengangguran, pendapatan, dll) secara menyeluruh.

makrofit (Bio) tumbuhan akuatik yg terdapat di dlm sungai, kolam atau laut, mis kiambang dan keladi bunting.

makromastia (Ubat) keadaan apabila buah dada menjadi terlalu besar.

makromelia (makromélia) (Ubat) keadaan apabila anggota tubuh (tangan atau kaki) menjadi lebih besar drpd normal.

makropodia (Ubat) keadaan apabila kaki menjadi sangat besar.

makroprosopia (Ubat) keadaan apabila muka menjadi terlalu besar.

makropsia (Ubat) keadaan pd seseorang apabila objek kelihatan lebih besar drpd saiznya yg sebenar.

makrorinia (Ubat) keadaan apabila hidung menjadi terlalu besar.

makroskopi pemeriksaan sesuatu objek dgn mata kasar.

makruf Ar 1. ketahuan, terkenal, masyhur; 2. perbuatan baik: amar ~;

kemakrufan kebaikan: politik yg sihat akan melahirkan segala kebaikan ~; keadaan berhijrah drpd kemaksiatan, kemungkaran, dan kefasikan kpd ketaatan dan ~.

makruh Ar perkara yg dilakukan tidak berdosa dan jika ditinggalkan mendapat pahala: melambat-lambatkan berbuka puasa adalah ~ hukumnya;

memakruhkan menyebabkan sesuatu (perbuatan, tindakan) menjadi makruh: maka dimakruhkan suami mengambil harta yg dijadikan tebus diri isteri.

maksi pakaian (gaun) yg labuhnya hingga ke pergelangan kaki (atau ke paras lantai).

maksiat perbuatan yg melanggar perintah Allah, perbuatan yg berdosa (yg keji);

bermaksiat melakukan maksiat: orang yg ~ akan menerima padahnya;

kemaksiatan pelbagai perbuatan (hal dsb) yg bersifat maksiat, segala-gala (perbuatan dll) yg berdosa: ternyata baginya kepincangan dan ~ yg dilakukan oleh manusia, dapat disaksikan di mana-mana sahaja.

maksila (Bio) rahang atas.

maksilitis (Ubat) radang pd rahang atas.

maksimamaksimum.

maksimal IB sebanyak-banyaknya, setinggi-tingginya: tulisan ilmiah yg sangat teknikal, yg objektivitas dan abstraksi mencapai titik ~nya.

maksimum jumlah yg sebanyak-banyaknya, paras dsb yg setinggi-tingginya: dgn ~nya pengeluaran ekonomi, maka lebih banyaklah barang-barang yg boleh dibahagi-bahagikan antara rakyat;

memaksimumkan menjadikan sebanyak-banyaknya (setinggi-tingginya): ~ pengeluaran kelapa sawit; ~ kadar pertumbuhan ekonomi;

pemaksimuman perihal (usaha, proses, dsb) memaksimumkan sesuatu: matlamat pengeluaran eksport akan digerakkan dgn mengambil ingatan tentang ~ pendapatan petani dan bukan semestinya ~ pendapatan negara.

maksud 1. tujuan, hajat, kehendak, niat: ~ aku ke sini ialah hendak berjumpa dgn engkau; ~ hatiku pun hendak ke sana juga; 2. erti yg tersimpul dlm sesuatu ayat (perbuatan dll): apakah ~ perkataanmu itu?; aku masih belum tahu lagi ~ aku dipanggil;

bermaksud 1. bertujuan, berhajat, berkehendak, berniat (hendak): kami ~ hendak menyerahkan wang itu dgn seberapa segera; 2. mengandungi erti: apa yg diucapkan sebentar tadi itu tidak ~ demikian;

memaksudkan 1. menghendaki, meminta: dialah yg dimaksudkan hadir dlm seminar itu; 2. memberi erti yg sebenar, (hendak) menyampaikan atau menyatakan (sbg maksud): Ali masih samar-samar tentang apa yg dimaksudkan oleh perempuan tua itu; apabila ia menerangkan tentang pendekatan struktur, ia ~ pendekatan formalistik juga;

termaksud dikehendaki, dimaksudkan.

maksum Ar terpelihara atau bebas drpd dosa, tidak tercela, tidak berdosa.

maksyuk Ar yg mengasyikkan, yg dikasihi (tercinta), buah hati.

maktab 1. tempat belajar (menulis dll), sekolah; 2. tempat tulis-menulis, pejabat; 3. sekolah atau institusi utk ilmu khas (spt ilmu perguruan, pertanian, teknik, dll), kolej: ~ perguruan bahasa; ~ pertanian; ~ teknik; 4. institusi pendidikan tinggi; M~ Turus Angkatan Tentera pusat latihan utk pegawai tinggi tentera.

maktub kitab suci;

memaktubkan menulis (dlm sesuatu), mencatatkan, merakamkan: hasil drpd laporan Suruhanjaya Reid yg telah ditubuhkan utk mengurus Perlembagaan Malaya, pembentukan sebuah parlimen negara telah dimaktubkan dlm perlembagaan;

termaktub tertulis, tercatat: perkara ini ~ di dlm Perlembagaan Persekutuan;

pemaktuban perihal memaktubkan sesuatu: ~ dasar utk menggalakkan pelaburan modal asing.

makwe bp teman wanita bagi seseorang lelaki.

makyung sj drama tari (yg mempersembahkan cerita dgn tarian dan nyanyian).

makzul Ar meletakkan jawatan, turun dr takhta (raja);

memakzulkan memecat drpd jawatan, menurunkan drpd takhta.

mal I 1. bahagian pangkal (dr mata lembing, pedang, dll), ganja (keris); 2. bahagian atas atau kepala tiang (kaki meja dll).

mal II Ar harta benda, khazanah; baitul~ tempat menyimpan segala harta benda, perbendaharaan.

mala I = termala ark layu (bunga): hari pagi bunga nan kembang, bunga yg merah ~ dahulu.

mala II Mn air bangkai yg sangat busuk, danur; harum semerbak mengandung ~ prb orang yg dipuji-puji kerana jasanya tetapi jasanya itu diperolehnya dgn jalan yg tidak baik.

mala III (Sanskrit) sl kotor, cacat, cemar, hina, noda.

malabera sj tumbuhan (pokok) dlm famili Loganiaceae, Fagraea crenulata; ~ bukit sj tumbuhan (pokok) dlm famili Rubiaceae, mempedal babi, Mussaendopsis beccariana.

mala fide (mala fidé) (Latin) (Udg) berkaitan dgn sesuatu tindakan atau keputusan yg berdasarkan niat yg buruk.

malagangai sj tumbuhan (pokok) dlm famili Lauraceae, Eusideroxylon malagangai.

malah I = malahan 1. bahkan, kian (bertambah), makin (bertambah): bukan itu sahaja, ~ aku sanggup berbuat apa sahaja utk menolong engkau; hujan yg kelihatan reda sebentar tadi ~ lebih lebat sekarang; 2. padahal, sedangkan: jangankan hendak pergi, ~ bergerak dr tempat duduknya pun tidak.

malah II Mn 1. lah: kalau disewa kereta, rugi ~ awak; 2. marilah: ~ kita ke pasar; 3. kalau, asalkan; ~ begitu kalau begitu.

malahanmalah I.

malai I untaian bunga drpd emas atau intan dll yg dipakai utk menghiasi kepala (tombak dll);

bermalai mempunyai atau ada malai: dulapan bantal susun bertampuk emas permata dan ada yg bertelepok bunga ~ emas; ~ spt sehari bulan;

bermalaikan mempunyai malai drpd: cogan alamat yg ~ emas berpermata dikarang;

memalai ark 1. menghiasi dgn malai; 2. spt malai.

malai II Br 1. sebutan kpd orang yg berketurunan Arab; 2. timang-timangan utk orang yg disayangi.

malaik ark  malak.

malaikat Ar sj makhluk yg diciptakan Allah drpd nur (cahaya), sifat dan tabiatnya sentiasa tunduk dan patuh kpd Allah dan tidak pernah melanggar perintah-Nya;

kemalaikatan berkaitan dgn malaikat, yg menunjukkan sifat-sifat (dsb) malaikat: manusia mempunyai tiga unsur utama – ~, kehaiwanan, dan kesyaitanan.

malaikatulmaut Ar malaikat yg mengambil nyawa manusia (Izrail).

malai-malai sj tumbuhan (pokok).

malaise IB keadaan yg serba susah (terutama dr segi perdagangan), meleset; zaman ~ zaman serba susah (dlm perdagangan dll), zaman meleset.

malak Ar malaikat.

malakamo Mn; buah si ~ sj buah yg sama ada dimakan atau tidak akan mendatangkan kesusahan (sbg perumpamaan sahaja); bagai makan buah si ~, dimakan mati ibu, tak dimakan mati bapak prb dlm keadaan serba salah (sama ada dibuat atau tidak, pekerjaan itu tetap akan mendatangkan bencana).

malakut Ar 1. = alam ~ alam atau tempat malaikat dan roh; 2. kerajaan.

malam I = ~ hari waktu mulai dr matahari masuk sampai matahari terbit, lwn siang: ~ ini engkau jangan pergi ke mana-mana; jangan main di tanah lagi, hari sudah ~;

~ buta = ~ boleh Kl, Tr malam yg sangat gelap (gelap-gelita); ~ dansa Id pesta tari-menari (pd malam hari); ~ gembira perjumpaan yg diadakan pd malam hari utk bersuka ria; ~ ini = ~ sekarang pd malam hari nanti (nanti malam); ~ Minggu (Isnin) malam menjelang hari Minggu (Isnin); ~ panjang malam minggu; ~ ria pesta yg diadakan pd waktu malam (utk bersuka ria); spt siang dgn ~ sangat jauh perbezaannya;

malam-malam sudah jauh malam, pd waktu malam: apa engkau hendak cari pergi ke bandar ~ hari ini?

semalam 1. satu malam: kalau ke kampung nanti, tidurlah di rumah nenek barang ~; 2. sepanjang malam: maka ~ itu Hang Tuah pun berhikayat pelbagai cerita; 3. hari sebelum hari ini, kelmarin: ~ kami pergi berkelah ke Port Dickson; 4. malam sebelum malam ini, malam tadi: ~ dia pergi menonton filem di panggung Rex; ~ suntuk sepanjang malam;

~ di bawah nyiur pinang orang, kata orang diturut prb hendaklah kita menurut adat istiadat negeri yg kita tumpangi;

semalam-malaman, semalaman sepanjang malam, semalam suntuk: maka belayarlah juga ~ itu; semalaman itu kami tidak tidur;

bermalam 1. tidur, menginap: mahu tidak mahu kami terpaksa ~ di pondok kecil itu; 2. sudah disimpan semalam (bkn masakan), sudah basi atau tidak sedap lagi dimakan: aku berasa hendak muntah sesudah makan lauk yg sudah ~ itu;

bermalaman tidur bersama, berseketiduran;

memalami Mn berjaga-jaga kerana menunggu orang sakit dll;

memalamkan, mempermalamkan menyimpan sesuatu (ubat dll) utk satu malam, membiarkan bermalam;

kemalaman hari menjadi malam (ketika masih dlm perjalanan dll): saya ~ hajat hati nak tumpang berteduh;

pemalaman, permalaman ark tempat (rumah dll) bermalam, penginapan.

malam II Jw ark lilin (utk membatik).

malan 1. mabuk pinang; 2. berasa kurang selesa (kerana agak mabuk, sedih, bingung, dll).

malang 1. letaknya melintang (mengalang): pd tiap-tiap sawah terlihatlah beberapa tali ~ melintang; 2. nasib yg tidak baik (tidak beruntung), celaka, sial: tolonglah hamba yg ~ ini; 3. = malangnya dikesalkan sedikit, dukacita: ~ nya kebanyakan orang yg terkena penyakit itu tidak mahu berjumpa doktor;

~ celaka Raja Genggang tuak terbeli tunjang hilang prb hal orang yg malang sewaktu sampai maksud yg kedua yg sudah di tangan hilang pula; ~ tak berbau prb kecelakaan yg tidak dapat diketahui sebelumnya; ~ tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih prb nasib buruk tidak dapat dielakkan begitu juga nasib baik tidak boleh dicari-cari;

memalangi ark menghormati, menyegani: di kalangan penduduk kampung itu, dia sangat dimalangi;
1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   18


Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©atelim.com 2016
rəhbərliyinə müraciət